Jumlah rakyat Malaysia yang melancong ke luar negara kini “melebihi daripada yang sepatutnya”, kata timbalan ketua pengarah Tourism Malaysia yang menanggung tugas ketua pengarah, Datuk Seri Abdul Khani Daud.
Menurut beliau, di kebanyakan negara kebiasaannya 10% daripada populasi yang melancong ke luar negara.
“Bagaimanapun di Malaysia jumlah yang melancong ke luar negara adalah ‘melebihi daripada yang sepatutnya’,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Karnival Tourism Malaysia ‘Its All Here’ di Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan di sini, semalam.
Beliau berkata, salah satu faktor yang menyumbang kepada semakin ramai rakyat Malaysia ke luar negara ialah kerana perkhidmatan syarikat penerbangan tambang murah.
“Rakyat Malaysia pun kebanyakannya suka kepada cabaran dan pengalaman baru, terutamanya golongan B40. Jumlah lulusan luar negara yang ramai juga menyebabkan golongan ini lebih tertarik untuk membawa keluarga melancong ke negara asing,” katanya.
Mengenai Karnival Tourism Malaysia yang bermula semalam sehingga hari ini, Abdul Khani berkata, ia bertujuan mempromosi produk pelancongan domestik kepada mereka yang bertugas di Putrajaya memandangkan cuti persekolahan akan bermula bulan depan.
Antara yang terlibat dalam karnival berkenaan ialah pengusaha hotel dan taman tema serta ejen pelancongan yang menawarkan diskaun sehingga 50%.
Sumber : BERNAMA
Sumber Credit : https://www.freemalaysiatoday.com